SEREMBAN, 23 Mac-Sebanyak 11 buah bas dikesan tidak layak dipandu atas jalan raya menerusi pelaksanaan Pra-Operasi Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2025 oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula 17 Mac lalu.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, tindakan mengeluarkan notis larangan operasi serta-merta terhadap semua bas berkenaan telah diambil sebagai langkah menghindari risiko kemalangan akibat kegagalan mematuhi standard keselamatan jalan raya.
Jelasnya, pemeriksaan terhadap hampir 500 buah bas itu dilakukan sebelum bermulanya Operasi Khas HRA 2025 yang bermula esok sehingga 8 April ini melibatkan aspek teknikal di terminal-terminal dan depoh-depoh bas di seluruh negara.
"Pihak JPJ tidak berkompromi dengan mana-mana kenderaan perkhidmatan awam yang gagal mematuhi peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan, Akta Pengangkutan Awam Darat dan kaedah-kaedah di bawahnya. Kepada semua pengguna jalan raya, dinasihatkan setiasa memastikan keadaan semasa kenderaan berada di tahap paling selamat untuk berada di jalan raya.
"Jadi, memang JPJ telah melaksanakan pelbagai kerja dan usaha untuk memastikan apabila musim perayaan menjelang tahap keselamatan pengangkutan awam berada di tahap yang terbaik. Selain daripada operasi-operasi yang akan dilaksanakan sepanjang musim perayaan, terutamanya sebelum perayaan, apabila ramai akan balik ke kampung masing-masing.
"Akan ada pelbagai operasi terutamanya kita akan meletakkan anggota-anggota penguatkuasa di kawasan-kawasan yang selalu berlaku kemalangan", katanya demikian ketika menghadiri Majlis Berbuka Puasa Ihya Ramadan Santuni Madani Kementerian Pengangkutan di Masjid Al-Munawwarah Taman Panchor Jaya, di sini, hari ini.
Pada majlis berkenaan , Loke turut menyampaikan sumbangan RM20,000 kepada Masjid berkenaan.