fb fb fb fb fb

Hospital Teluk Intan tambah kapasiti parkir awam

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming (dua, kanan) menyampaikan sumbangan bagi menambah peralatan fasiliti kesihatan kepada Pengarah Hospital Teluk Intan, Dr Khairul Baharin Mohd Baharuddin (dua,kiri) selepas merasmikan parkir awam di hospital tersebut/Foto BERNAMA

TELUK INTAN, 13 September - Hospital Teluk Intan menerima sumbangan RM122,500 daripada Ahli Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming bagi menaik taraf kemudahan kesihatan di hospital itu.

Nga Kor Ming yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), berkata sumbangan itu adalah untuk menyediakan mesin elektrokardiogram (ECG), mesin kardiotokografi (CTG) dan mesin hemodialisis untuk hospital berkenaan.

“Ia juga sebagai tambahan peruntukan RM800,000 bagi menaik taraf kawasan parkir awam hospital ini, yang boleh memuatkan tambahan 250 petak bagi kemudahan pengguna,” katanya pada Majlis Perasmian Parkir Awam Hospital Teluk Intan hari ini.

Nga berkata hospital tersebut sebelum ini kekurangan tempat letak kereta kerana hanya boleh memuatkan 500 kenderaan.

Beliau berkata penambahan kawasan tempat letak kereta baharu itu, merupakan antara manifesto ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Hospital Teluk Intan mempunyai 548 katil dan kira-kira 2,000 kakitangan, menyediakan perkhidmatan penting kepada penduduk di lima daerah berhampiran, termasuk pesakit dari Sabak Bernam, Selangor.

Trainee