fb fb fb fb fb

Hospital Pakar KPJ Pahang adakan program berkhatan dalam kalangan asnaf dan rentan

Program Mega Sunathon melibatkan jumlah peserta seramai 100 orang yang disertai kanak-kanak berusia 7 tahun hingga 12 tahun

KUANTAN, 18 Februari - Program berkhatan beramai-ramai di Hospital Pakar KPJ Pahang hari ini turut disertai 52 peserta dalam kalangan asnaf dan rentan.

Program Mega Sunathon itu melibatkan jumlah peserta seramai 100 orang yang disertai kanak-kanak berusia 7 tahun hingga 12 tahun.

Pengurus Operasi Hospital Pakar KPJ Pahang Nurhazni Khir Jauhari berkata, inisiatif pengajuran program itu merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk berkongsi rezeki dengan masyarakat.

Katanya, 52 peserta dalam kalangan asnaf dan rentan yang menyertai program itu tidak dikenakan sebarang bayaran.

"Daripada segi dana kita menggunakan wakalah zakat. Wakalah zakat korporat KPJ Pahang sebahagian daripadanya sebagai dana untuk menjalankan program sunat kanak-kanak ini walaupun dilakukan yang kebanyakan dilakukan oleh doktor-doktor pakar. Tetapi dana itu digunakan untuk membiayai kos-kos yang diperlukan. Jadi untuk asnaf dan anak-anak gelandangan ini maksudnya sunat itu kita tidak ada kos, jadi maknanya percumalah," kata Nurhazni Khir dalam program itu, di sini.

Program itu melibatkan seramai 10 orang doktor dan pembantu perubatan dari pelbagai agensi 35 orang jururawat serta lebih 30 orang anggota pekerja sokongan.

Aktiviti perarakan para peserta bermula dari pintu masuk lobi utama hospital dan diiringi dengan paluan kompang serta diikuti dengan aktiviti bersiram oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Selain itu, program terbabit turut mendapat kerjasama daripada Pertubuhan Dapur Infaq Ummah.

Menurut Pengasas Pertubuhan Dapur Infaq Ummah, Badrul Jamili Kamaruddin, 52 peserta dalam kalangan rentan dan asnaf dipilih daripada mereka mengikut kriteria yang ditetapkan pihak Hospital Pakar KPJ Pahang.

TETITIA YUSOFF