fb fb fb fb fb

HKK 2022: 'Kraf mewarnai Keluarga Malaysia' iktiraf penggiat kraf seluruh negara

(Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri melancarkan program tahunan Hari Kraf Kebangsaan 2022 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay)

KUALA LUMPUR, 24 Februari - Lebih 300 orang usahawan dan komuniti kraf dari seluruh negara pelbagai bidang menghasilkan produk kraf mereka bagi jualan dan promosi sempena program tahunan Hari Kraf Kebangsaan (HKK) 2022 kali ke-19, di sini hari ini.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Kraftangan Malaysia menganjurkan program tahunan itu secara tidak langsung memberi pengiktirafan terhadap penglibatan dan sumbangan penggiat kraf dalam pembangunan industri kraf negara.

Bertemakan "Kraf Mewarnai Keluarga Malaysia", Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata program seumpama ini menggambarkan keunikan dan keindahan produk kraf daripada pelbagai latar belakang kaum dan bangsa.

"Penghasilan produk kraf juga dapat menjana pendapatan selari dengan aspirasi kerajaan dalam memulihkan ekonomi negara.

"Penganjuran ini sebagai medium terbaik yang menghimpunkan usahawan kraf dari setiap pelusuk negeri untuk memasarkan dan mempamerkan hasil kraf tangan tempatan dengan pelbagai rekaan terbaharu dan cita rasa moden serta kontemporari," katanya pada Majlis Perasmian Hari Kraf Kebangsaan (HKK) 2022.

Kraf tekstil, kraf hasil rimba, kraf hasil logam, kraf hasil tanah dan aneka kraf antara menjadi tarikan pada program tersebut.

Selain daripada itu, beberapa pameran turut ditampilkan antaranya ialah pameran Koleksi Pakaian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Pameran Tokoh Kraf Negara 2022, Pameran Khas – Ratu Kain (Tekstil Songket), Pameran MYCRAFTSHOPPE, Pameran Institut Kraf Negara, Pameran Seni Kraf Anyaman, Pameran Produk Baharu, Pameran produk Komuniti Kraf serta Tokoh Kraf dan Diorama Teknik Pembuatan Kraf Tradisional.

Turut diadakan juga demonstrasi Kraf Kembang Api dan demonstrasi masakan cita rasa Keluarga Malaysia, Seminar Kraf, Interaktif Kraf seperti Anyaman, Batik, Tenunan, Creative Craft Studio dan Eksplorasi Adiguru Kraf, Persembahan Kesenian, Fun Craft Batik ikat & Celup dan Khidmat Iring.

Sambutan HKK 2022 turut dipromosikan menerusi Festival Kraf Kebangsaan di tujuh pusat beli-belah seluruh negara iaitu Bintang Megamall Miri di Sarawak, Suria Sabah Shopping Mall di Kota Kinabalu, Sabah, Aeon Mall Bukit Indah di Johor, Aman Central Mall di Alor Setar, Kedah, Freeport A'Famosa Outlet di Alor Gajah, Melaka, KTCC Mall di Kuala Terengganu, Terengganu dan The Giant Superstore di Kangar, Perlis.

"Pengunjung yang membeli produk kraf sepanjang HKK 2022 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur termasuk di Festival Kraf Kebangsaan 2022 boleh mendapat tawaran baucar tunai sebanyak RM30 bagi setiap pembelian dalam gandaan RM100.00," katanya.

HKK2022 dibuka kepada orang awam seawal jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam serta masuk adalah percuma.

Media Baharu