
LAWAS, 8 Januari – Orang ramai dinasihat mengelak sebarang aktiviti berisiko di kawasan pantai, sungai, air terjun dan tanah tinggi ketika Monsun Timur Laut (MTL).
- Elak aktiviti di pantai, sungai, air terjun dan tanah tinggi semasa Monsun Timur Laut.
- Hujan berterusan meningkatkan risiko bahaya yang boleh mengancam nyawa.
- Jangan berkumpul atau mandi di kawasan sungai dan laut semasa hujan lebat.
- Waspada terhadap pergerakan tanah dan kemungkinan runtuhan ketika taburan hujan tinggi.
- Pihak bomba memantau kawasan berisiko walaupun banjir telah reda.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lawas, Clarence D. Primus Tiandun berkata hujan berterusan mengundang kepada risiko bahaya sehingga boleh mengancam nyawa.
“Kita menasihatkan kepada penduduk supaya mengelak mengadakan aktiviti di sekitar sungai dan laut. Contohnya seperti kes baru-baru ini apabila 20 individu terperangkap di Air Terjun Sungai Batol ketika mahu menyambut tahun baharu.
Hujan lebat yang berterusan menyebabkan mereka terperangkap. Bagaimanapun mereka berjaya keluar dari kawasan tersebut selepas keadaan reda,” katanya.
“Taburan hujan yang tinggi ketika MTL boleh membawa kesan terhadap pergerakan tanah dan kemungkinan runtuhan akan berlaku,” beliau menyatakannya kepada RTM di sini.
Clarence menambah walaupun banjir di Lawas sudah reda, namun pihaknya terus melakukan pemantauan di seluruh kawasan berisiko terutama di sekitar Trusan, Awat-Awat dan Sundar.