LABUAN, 31 Ogos – Program riadah komuniti bertemakan “Hike 4 Merdeka 2025” berlangsung meriah di sini hari ini sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68, dengan penglibatan seramai 150 peserta yang mendaki sejauh empat kilometer menuju ke puncak MTB.
Suasana di puncak bertambah bermakna apabila para peserta mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh semangat patriotisme, sebagai simbol kecintaan kepada tanah air.
Pelepasan peserta bermula di Padang Majal, Kampung Pohon Batu yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Mohd Sukuran Taib. Turut hadir, Pengarah MKN Labuan, Mohd Hafiez Mohd Daud, serta Ketua Kampung Pohon Batu, Haryadi Omar.
Selain mempromosikan gaya hidup sihat dan aktif, penganjuran ini turut menjadi wadah komuniti untuk meraikan Hari Kebangsaan secara lebih kreatif dan bermakna.
Ia juga mengangkat kepentingan menghargai alam semula jadi sebagai sebahagian daripada aset negara.
“Hike 4 Merdeka 2025” jelas memperlihatkan komitmen warga Labuan dalam menghayati erti kemerdekaan, di samping menyemai semangat kesatuan dan kekitaan.
Program tersebut dianjurkan bersama oleh Gabpoba, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Labuan, dan Majlis Belia Labuan (MBL) dengan sokongan beberapa rakan strategik.