SEPANG, 23 Mac- Seramai 60,726 usahawan sudah menerima manfaat daripada Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah).
Ia menerusi pembiayaan berjumlah RM858 juta sejak 2015 hingga Februari tahun ini.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan, Mohd Najwan Halimi berkata, dari jumlah itu 5,957 pembiayaan membabitkan RM65,147 disalurkan kepada usahawan di daerah Sepang dalam tempoh sama.
"Hampir RM1 bilion, sejak 10 tahun. Dana ini telah digunakan untuk membantu lebih daripada 60,000 usahawan negeri Selangor. Alhamdulillah, Hijrah masih lagi kekal sebagai sebuah agensi di Selangor yang membantu membangunkan usahawan-usahawan kita.
Untuk sambutan 10 tahun ini, ini adalah siri pertama dan pihak Yayasan Hijrah akan menganjurkan sembilan lagi siri jelajah sempena ulang tahun ke-10 ini dengan tema, 10 Tahun Kecemerlangan Memperkasa Usahawan," kata Mohd Najwan kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan kempen “10 Tahun Kecemerlangan: Memperkasa Usahawan” anjuran Hijrah di Bazar Ramadan Taman Putra Perdana, Sepang.
Dalam pada itu, kempen tersebut bertujuan meraikan satu dekad pencapaian agensi tersebut sebagai peneraju pembiayaan mikro dan menghargai kejayaan usahawan di Selangor.