fb fb fb fb fb

Hentikan kekejaman Israel, negara Islam perlu rapatkan ukhuwah - Zambry

Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir

RIYADH, 11 November- Malaysia menggesa negara-negara Islam segera merapatkan ukhuwah dan melaksana tindakan konkrit yang berkesan untuk menghentikan kekejaman rejim zionis terhadap rakyat Palestin.

Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, penegasan mengenainya akan dibuat pada Sidang Kemuncak Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Ke-8 di Riyadh, hari ini.
 
"Kita tidak mahu mesyuarat demi mesyuarat, pertemuan demi pertemuan diadakan tetapi tidak memberi impak apa-apa. Perlu ada penegasan dan langkah ke hadapan dari negara-negara anggota untuk menyegerakan proses gencatan senjata bagi menghentikan pembunuhan kejam yang dilakukan rejim tidak berperikemanusiaan," kata Zambry kepada pemberita di sini.
 
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengetuai delegasi Malaysia ke sidang kemuncak tergempar sehari ini.
 
Beliau dijadual tiba di ibu negara Arab Saudi pada pukul 11.00 pagi waktu tempatan atau pukul 4.00 petang waktu Malaysia.
 
Di luar sidang, Anwar dijadual mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin negara Islam.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM