KUALA LUMPUR, 8 Januari – Keputusan Meta untuk menghentikan pemeriksaan fakta bebas di platform Facebook dan YouTube dengan menggantikan mekanisme tersebut kepada sistem nota komuniti menimbulkan cabaran besar, termasuk risiko peningkatan penyebaran maklumat palsu.
Menurut Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Rembau, Negeri Sembilan, Mohd Faisal Md Noor langkah ini juga berpotensi membuka ruang untuk memperkukuhkan kebebasan bersuara.
“Tanpa pemeriksaan ini, pengguna mungkin menghadapi lebih banyak maklumat tidak benar dan kebanjiran maklumat palsu. Ia secara tidak langsung menjadi satu anjakan paradigma kepada para pengguna media sosial untuk menjadi lebih berhati-hati dan tidak melulu mempercayai khabar berita,” katanya ketika dihubungi RTM.
Mohd Faisal turut menegaskan perlunya pendekatan holistik bagi mengatasi cabaran tersebut, termasuk memperkasakan garis panduan kandungan dan memastikan mekanisme nota komuniti mematuhi undang-undang tempatan serta sensitiviti budaya.
Sementara itu, Pensyarah Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr. Siti Zanariah Yusoff mencadangkan kerjasama antara sektor bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengguna.
“Dengan mengadakan kempen yang sesuai, pengguna dapat lebih peka tentang cara menyemak kesahihan maklumat. Apa yang kita boleh lakukan adalah kolaborasi antara NGO, institusi akademik, dan pakar media sosial untuk memastikan sistem ini digunakan secara adil dan berintegriti. Garis panduan yang jelas juga perlu diwujudkan, iaitu memastikan nota komuniti sesuai dengan sensitiviti budaya dan agama,” ujarnya.