fb fb fb fb fb

Hayati semangat Ramadan, santuni golongan kurang bernasib baik - PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar berucap pada perjumpaan bersama warga JPM di sini hari ini/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 18 Mac- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan umat Islam agar menghayati semangat Ramadan dengan memperkukuh disiplin diri serta menyantuni golongan kurang bernasib baik.

Beliau berkata selain meningkatkan amalan, Ramadan juga ialah "madrasah" untuk mengukuh dan menggilap semula kekuatan, keimanan, akhlak dan disiplin.

“Kemudian ia juga harus mengetuk pintu hati nurani kita untuk berbicarakan hal-hal yang terkait dengan Ramadan, maknanya usaha yang lebih untuk menambah sedekah amal jariah, dan masing-masing yang punyai sedikit keupayaan untuk menyantuni masyarakat kurang bernasib baik,” katanya ketika berucap pada perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.

Sementara itu, Anwar berkata Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim turut bertitah supaya tidak melakukan pembaziran pada bulan Ramadan.

"Semalam, saya menghadap santai dengan Yang di-Pertuan Agong, malam ini ada majlis buka puasa. Menarik singgungan baginda dalam perbincangan santai. Baginda bertitah, buka puasa sepatutnya minum air sikit, kurma sebiji dan solat maghrib dulu.

"Sebab pembaziran, (majlis) santapan di Istana (Negara) itu kadang-kadang lumayan, hal-hal yang kadang-kadang mengingatkan kita bahawa dicermati supaya wang itu dimanfaatkan kepada orang yang memerlukan," kata Anwar.

Dalam pada itu, Anwar yang baru pulang daripada lawatan rasmi selama enam hari ke Jerman, berkata kerjasama penjawat awam dalam pentadiran negara di pandang positif oleh negara luar.

"Sebagai kerjasama pasukan termasuk penjawat awam sangat penting kerana keyakinan mereka sekarang bila mereka menilai, katanya lebih cekap ,keputusan cepat dan tidak berlaku ketirisan.

"Saya nak ambil peluang ini menyatakan kepada Ketua Setiausaha Negara, Alhamdulillah dan saya bangga, berkhidmat dengan penjawat awam yang semangat sedemikian kerana kesannya sambutan luar biasa, saya tidak menambah, ramai menteri ketika itu bersama saya," katanya.

Tambah Anwar, syarikat pelaburan dari China, Australia atau Jerman yang telah lama bertapak di negara ini turut memuji imej positif negara dan perkhidmatan awam dalam menguruskan urusan pelaburan.

“Mereka (pelabur) nyatakan kepada saya, mutakhir ini ada satu disiplin baharu dan mereka puji sungguh dalam cara kita menyantuni, menjawab permintaan dan meluluskan permintaan.

“Saya harap kita (penjawat awam) tumpu ini, percayalah dalam beberapa tahun, kita boleh angkat semula martabat negara kita,” kata Perdana Menteri.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI