fb fb fb fb fb

Hasni beri bayangan akan bertanding DUN Benut

 



PONTIAN, 29 Januari- Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad memberi bayangan bakal bertanding dan mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut pada Pilihan Raya Umum (PRU) DUN Johor akan datang.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor itu bagaimanapun masih belum memuktamadkan keputusan untuk mempertahankan kerusi yang disandangnya itu sebelum ini.

"Saya kalau boleh, dan diberi peluang sekali lagi, mahu bertanding di Benut," katanya selepas menyampaikan sumbangan Tahun Baharu Cina di DUN Benut di sini.

Hasni merupakan penyandang kerusi DUN Benut selama tiga penggal sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 dan pada PRU ke-14, menewaskan calon Bersatu Zulkifly Tasrep dan Mohd Firdaus Jaafar (PAS) dengan majoriti 4,447 undi.

Ketika diitanya desas-desus adik Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Aziz Shari, 33, yang dikatakan akan bertanding di kerusi itu, Hasni menjawab ringkas: "Lagi ramai lagi meriah."

Aziz yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pontian dan anak jati Kampung Asam Kumbang, Benut diuar-uarkan antara calon yang bakal bertanding kerusi itu menentang Hasni pada PRU DUN Johor akan datang.

Sementara itu, Hasni berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) negeri akan melakukan perubahan menyenaraikan calon muda untuk menghadapi pilihan raya, sekiranya mendapat permintaan dalam kalangan masyarakat sejajar dengan situasi terkini serta peredaran semasa.

Beliau berkata, parti juga mengambil inisiatif untuk membangun bersama masyarakat, selain menerima saranan dan pandangan daripada pelbagai pihak.

""UMNO dan BN bukan statik dan berkembang ikut peredaran masa. Ketika ini, masyarakat mahu calon terdiri daripada orang muda dan muka baharu maka saya dan parti tidak abaikan apa juga saranan serta tuntutan pelbagai pihak dalam membentuk kerajaan Johor yang lebih stabil. Proses mengenal pasti calon sedang dilakukan dan akan dimuktamad kemudian." katanya.

Hasni turut diminta mengulas tindakan ADUN Puteri Wangsa Mazlan Bujang yang mengumumkan keluar Bersatu pada Khamis.

"Saya doakan beliau terus bergerak aktif dalam politik. Dalam tempoh 24 bulan beliau menyandang jawatan Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, saya rasakan beliau sudah memahami cara kerja UMNO dan BN.

"Di situ saya rasa Mazlan lihat kita ada persefahaman dan menyebabkan beliau yakin untuk menyokong BN, UMNO serta kepimpinan saya," katanya.

Media Baharu