
PUTRAJAYA, 17 Januari – Sebanyak 12,500 Bendera Wilayah Persekutuan diedarkan kepada ketua-ketua komuniti dan orang ramai bagi menyemarakkan Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2026 peringkat Putrajaya.
- Penyebaran bendera mengeratkan patriotisme dan kecintaan terhadap Wilayah Persekutuan.
- Inisiatif memupuk kebersamaan serta tanggungjawab penjagaan fasiliti awam.
- Sambutan serentak di Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan simbol penyatuan rakyat.
- Perasmian Tapak Pasar Minggu @ Lepak 11 memacu ekonomi komuniti dan usahawan kecil.
Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Mohd Sakeri Abdul Kadir berkata penyerahan bendera itu bukan sekadar simbolik, tetapi inisiatif memperkukuh patriotisme dan kecintaaan terhadap Wilayah Persekutuan.
Sekali gus, memupuk kebersamaan dan tanggungjawab dalam konteks menjaga fasiliti dan infrastruktur yang telah disediakan bagi kegunaan bersama.
“Bendera itu simbol, tetapi di belakang simbol tu ada sesuatu yang perlu lekat di hati kita. Dengan harapan bila kita serahkan simbol itu dibawa ke rumah masing-masing dan institusi kekeluargaan itu perlu diterapkan nilai kekitaan.
“Fasiliti di Putrajaya ini adalah fasiliti kita dan tanggungjawab kita untuk memastikan ia sentiasa bersih dan bila dalam keadaan baik, kebolehgunaannya akan menjadi lebih panjang tempohnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Bendera Wilayah Persekutuan Sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan (SHWP) 2026 di sini.
Mengangkat tema “Wilayah Persekutuan Kita”, sambutan pada tahun ini dilaksanakan secara serentak di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan iaitu Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan sebagai simbol penyatuan dan kebersamaan rakyat dalam meraikan identiti serta jati diri Wilayah Persekutuan.
Dalam perkembangan lain, Tapak Pasar Minggu @ Lepak 11, Presint 11 turut dirasmikan hari ini.
Datuk Mohd Sakeri memaklumkan lokasi tersebut disasarkan menjadi pusat strategik bagi memperkasa aktiviti ekonomi komuniti setempat khususnya peniaga kecil dan usahawan tempatan.