KUCHING, 11 September- Sambutan Hari Malaysia ke-60 pada Sabtu depan akan berkonsepkan tiga wilayah yang masih wujud dan kukuh iaitu Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang membangun bersama-sama membentuk negara Malaysia pada hari ini.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi selaku menteri bertanggungjawab bagi Sambutan Perayaan Hari Malaysia 2023 berkata keadaan negara yang harmoni pada hari ini juga akan dipaparkan semasa sambutan berkenaan.
Sambutan yang berlangsung di Stadium Perpaduan, Kuching itu bakal mempamerkan suasana harmoni, aman damai dan tahap perpaduan yang tinggi kepada seluruh rakyat Malaysia, walaupun mempunyai pelbagai bangsa dan suku kaum.
"Jadi, slogan 'Segulai Sejalai' itu amat bertepatan sekali dengan tema sambutan kita. Kita boleh bercampur gaul hidup dalam suasana aman damai dan harmoni, dalam masa sama kita dapat bergerak sehaluan.
Tidak mempunyai perbezaan untuk menjejaskan usaha pembangunan negara pada hari ini sekali gus mencorak masa depan negara yang lebih baik pada masa akan datang," kata Julaihi kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Induk Hari Malaysia 2023 di Wisma Bapa Malaysia, di sini.
(Foto Hiasan)
Datuk Julaihi turut menyeru semua rakyat khususnya yang tinggal di Kuching untuk hadir memeriahkan sambutan berkenaan 16 September ini.