fb fb fb fb fb

Hari ke-4 SAR mangsa tanah runtuh, operasi diteruskan 8 pagi tadi

BATANG KALI, 19 Disember - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, di sini diteruskan pukul 8.00 pagi tadi, berikutan operasi malam semalam terpaksa dihentikan kerana hujan lebat.

Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Datuk Norazam Khamis hujan lebat membahayakan petugas di lapangan.

Beliau juga memaklumkan penilaian akan dibuat semula berdasarkan struktur tanah sebelum operasi disambung semula.

Setakat ini, 24 mangsa disahkan meninggal dunia, 61 orang selamat dan sembilan masih hilang.

Norazam, sebelum ini memaklumkan lapan daripada 24 mangsa yang terkorban ditemukan tertimbus tanah antara kedalaman 0.9 hingga 1.5 meter, enam daripada mayat tersebut berjaya dikesan Unit Anjing Pengesan (K9).

(Anggota Pasukan Mencari Dan Menyelamat Khas (SMART) meninggalkan
kawasan kejadian tanah runtuh semalam, operasi mencari bersambung semula pukul 8.00 pagi)

Sebahagian kawasan itu tepaksa digali menggunakan jengkaut, sebelum mangsa berjaya dikeluarkan petugas SAR.

Media Baharu