fb fb fb fb fb

Harga sawit tinggi, faktor pekerja tinggalkan sektor pembinaan

SIBU, 10 Jun- Peningkatan harga minyak sawit di dalam sektor perladangan telah menarik minat tenaga pekerja dari sektor lain.

Perkara tersebut dimaklumkan Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fenomena tersebut juga telah memberi kesan kepada sektor pembinaan apabila pekerja mereka berpindah ke sektor perladangan.

Menurutnya kesan kekurangan pekerja pembinaan itu dapat dilihat apabila terdapat beberapa projek pembinaan yang telah lewat disiapkan termasuk projek Lebuhraya Pan Borneo.

“Harga sawit kini begitu baik, sebab itu mereka sanggup membayar berapa saja bayaran untuk mengambil pekerja dan salah satu mangsanya adalah sektor pembinaan.

“Sektor pembinaan pula (membuat bayaran kepada pekerja berdasarkan) dari nilai pasaran dan juga kepada kemahiran yang dimiliki pekerja,” katanya kepada pemberita yang menyertai  program Jelajah FTRoadpedia Sarawak di Jejambat Selangau di sini, hari ini.


(Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof/BERNAMA)

Jelajah FTRoadpedia Sarawak anjuran Kementerian Kerja Raya yang bermula semalam hingga 11 Jun itu bertujuan meninjau perkembangan semasa pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dengan melintasi daerah Kuching, Bintulu, Sibu dan Miri.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata ‘tarikan’ pekerja dari satu sektor ke sektor lain merupakan persaingan dalam pasaran yang bukan sahaja berlaku di Sarawak tetapi seluruh negara.

“Oleh sebab itu, terdapat syarikat yang tubuhkan ‘headhunter’ yang bertujuan untuk mencari pekerja.

“Pihak industri sendiri perlu fikir bagaimana mereka boleh menjaga pekerja mereka dengan memberi tawaran termasuk manfaat yang boleh mengekalkan pekerja,” tambahnya.

Terdahulu, Fadillah memaklumkan ramai pekerja yang terlibat dengan projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak juga telah pulang ke negara asal mereka menyebabkan kontraktor projek itu kini hanya mampu bekerja dengan kapasiti 70% tenaga kerja berbanding sebelum pandemik.- BERNAMA 

Media Baharu