KULAI, 24 November- Dua beradik warga emas ditemukan mati di dalam sebuah rumah di Jalan Selendang Lima, Taman Mewah, Kulai, Johor, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, mayat ditemukan dalam keadaan mereput selepas jiran mengesan bau busuk dari rumah tersebut.
"Siasatan di kediaman itu mendapati mayat seorang wanita berusia 67 tahun ditemukan terbaring di atas sofa ruang tamu, manakala mayat lelaki berusia 65 tahun ditemukan terbaring di atas katil di dalam bilik.
"Tiada unsur jenayah ditemukan pada tubuh mayat mahupun di lokasi kejadian.
"Kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai untuk bedah siasat," katanya dalam kenyataan.
Katanya, kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut.