Harga minyak naik: Subsidi kerajaan meningkat kepada RM3.2 bilion

Kerajaan menyalurkan subsidi melalui BUDI95 dan BUDI Diesel untuk melindungi rakyat dan majoriti peniaga

KUALA LUMPUR, 22 Mac – Subsidi kerajaan meningkat kepada RM3.2 bilion berbanding RM700 juta dalam tempoh kurang seminggu, susulan kenaikan harga minyak dunia akibat konflik di Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan menyalurkan subsidi melalui BUDI95 dan BUDI Diesel untuk melindungi rakyat dan majoriti peniaga daripada harga pasaran sebenar.
  • Melindungi kebajikan dan kesejahteraan rakyat kekal keutamaan Kerajaan MADANI dalam keadaan dunia yang tidak menentu.
  • Malaysia terkesan kerana hampir 50 peratus bekalan melalui Selat Hormuz walaupun negara pengeluar minyak.
  • Konflik di Asia Barat, termasuk serangan Amerika Syarikat dan tindakan Iran, menjejaskan laluan minyak dan mengehadkan bekalan global.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bagi melindungi rakyat, kerajaan menyalurkan subsidi menerusi BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dan BUDI Diesel sekali gus memastikan rakyat dan majoriti peniaga tidak perlu membayar harga sebenar pasaran.

Datuk Seri Anwar dalam hantaran di Facebook menegaskan bahawa usaha melindungi kebajikan dan kesejahteraan rakyat tetap menjadi keutamaan Kerajaan MADANI terutama dalam keadaan dunia yang semakin tidak menentu.

Tambah beliau, Malaysia sebagai negara pengeluar minyak turut terkesan kerana hampir 50 peratus bekalan minyak negara melalui Selat Hormuz.

“Walaupun Malaysia pengeluar minyak, kita sebenarnya mengimport lebih banyak (minyak) daripada yang dieksport,” jelasnya sekali gus menjawab persoalan mengapa Malaysia sebagai negara pengeluar minyak turut terkesan situasi terbabit.

Datuk Seri Anwar berkata Selat Hormuz yang merupakan laluan utama minyak dunia terjejas akibat konflik di rantau berkenaan menyebabkan bekalan minyak dunia menjadi terhad dan harga bahan api itu melonjak.

Konflik di Asia Barat tercetus selepas Amerika Syarikat melancarkan serangan ke atas Iran pada 28 Februari lepas.

Sebagai tindak balas, Iran melancarkan serangan terhadap negara haram Israel dan aset-aset Amerika Syarikat di rantau itu.

Iran pada masa sama turut menutup Selat Hormuz, yang menjadi laluan utama bekalan minyak dan gas global.