Harga barangan terkawal, tiada kenaikan mendadak

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Fuziah Salleh/RTM

BANGI, 2 April -Harga barangan dalam negara ketika ini masih terkawal tanpa sebarang laporan kenaikan mendadak.

RINGKASAN BERITA AI
  • KPDN memantau harga setiap hari untuk memastikan kestabilan pasaran dan melindungi pengguna.
  • Sebarang cadangan kenaikan harga oleh industri mesti dirunding terlebih dahulu bersama kementerian.
  • KPDN peka terhadap kesan geopolitik global dan menjalankan langkah proaktif untuk elak pihak mengambil kesempatan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Fuziah Salleh berkata, pihaknya setakat ini tidak menerima sebarang laporan berkaitan kenaikan ketara di pasaran.

Katanya, kementeriannya sentiasa memantau situasi semasa bagi memastikan kestabilan harga terus terpelihara.

“Setakat ini, tiada laporan mengenai kenaikan harga yang mendadak. Pihak KPDN akan sentiasa melakukan libat urus dengan industri-industri sekiranya terdapat keperluan, dan sebarang kenaikan harga perlu dirunding terlebih dahulu.

“Kami memahami situasi geopolitik global; ini bukan sahaja tentang menyokong produk tempatan, tetapi seluruh dunia sedang menghadapi keadaan yang sama. Oleh itu, KPDN sentiasa peka dan memantau harga setiap hari untuk memastikan tiada pihak mengambil kesempatan,” katanya kepada pemberita.

Pada masa sama beliau menegaskan sebarang keperluan menaikkan harga oleh pihak industri perlu melalui proses rundingan terlebih dahulu bersama kementerian.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan kepentingan pengguna terus dilindungi, terutama dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu ketika ini.

Beliau turut mengakui bahawa faktor geopolitik global memberi kesan kepada ekonomi dunia, namun menegaskan situasi tersebut bukan hanya dihadapi Malaysia, sebaliknya melibatkan banyak negara lain.

Sehubungan itu, KPDN akan terus melaksanakan pemantauan harga secara harian bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan terhadap pengguna.

“Langkah proaktif itu dilihat penting dalam mengekalkan kestabilan pasaran serta mengawal kos sara hidup rakyat,” katanya.