BUKIT JALIL, 3 Ogos- Meta Platforms Inc (Meta) memberi jaminan untuk tidak menurunkan kandungan yang dikongsi pemimpin negara atau kerajaan berhubung hantaran solidariti Palestin di media sosial.
Menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, Meta memberi jaminan itu secara lisan kepada beliau sendiri sebelum kedatangan pasukan mereka ke Putrajaya pada Isnin ini.
Beliau juga ingin melihat sejauh mana Meta akan menterjemah jaminan mereka termasuk tidak mengganggu siaran langsung Himpunan Pembebasan Palestin di Stadium Axiata, Bukit Jalil, esok.
"Ini yang telah dijamin kepada saya secara lisan oleh pegawai yang agak tinggi di pihak Meta..jadi saya mahu melihat mereka menterjemah 'to walk the talk'..dengan memastikan siaran bukan hanya di Facebook Perdana Menteri, tetapi juga dalam kalangan rakan-rakan media tidak diganggu selama perhimpunan itu berjalan," katanya kepada media pada Majlis Bazaar Ulang Tahun Ke-6 J&T Ekspres di sini.
Sementara itu, lebih 10,000 pengunjung meraikan dan menyokong usahawan tempatan melalui Kempen #KasiJadi bersempena ulang tahun J&T Ekspres.
Ia menyediakan platform untuk vendor dan pemain logistik mendapatkan pendedahan jenama dan memaksimumkan pasaran secara global.
"Kempen ini saya difahamkan berhasrat untuk membantu perniagaan-perniagaan tempatan berkembang dengan lebih luas. Ini adalah satu usaha yang cukup baik dan di pihak kementerian kami menyokongnya," kata Fahmi.