fb fb fb fb fb

Hannah lulus sumbangan tambahan peralatan sukan

Hannah Yeoh (kiri) dan Tuanku Dr. Lailatul Shahreen Akashah Khalil (tengah) mengacau dodol

KUALA PERLIS, 19 Mei- Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menyantuni komuniti penduduk setempat bersama-sama Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh ke Projek Transformasi Diraja Kampung Nelayan Warna-warni Seberang Ramai.

Lawatan berkenaan bersempena dengan program Jelajah Mesra Komuniti (JMK) anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang menyasarkan penglibatan komuniti melalui lawatan dan aktiviti kemasyarakatan.

Antara lokasi yang dilawati adalah Laman Bunga Kertas, Laman Laksa, Jambatan Tuanku Syed Putra, Anjung Persinggahan Raja, Laman Bunga Raya dan Rumah Sihat.

Tuanku Lailatul dan Hannah turut melaksanakan beberapa aktiviti bersama-sama masyarakat setempat seperti dekorasi Laksa Kuala Perlis, permainan tradisional 'Tok Jengkek', senam 'Tari Canggung' dan mengacau dodol.

Sementara itu, Hannah dalam ucapannya menjunjung kasih dan menzahirkan kekaguman atas limpah perkenan Tuanku Lailatul menyantuni rakyat selain turut komited untuk mempromosikan aktiviti sukan dan pemerkasaan belia di Kampung Warna-warni yang semakin popular sebagai destinasi pelancongan baru menarik di Perlis.

Beliau turut meluluskan sumbangan tambahan beberapa peralatan sukan dan kecergasan di Kampung Warna-warni Seberang Ramai seperti set tiang gol, jaring dan kerusi kecergasan untuk manfaat komuniti setempat.

Kampung Warna-warni Seberang Ramai merupakan perkampungan nelayan paling utara Malaysia yang menjalani program transformasi komuniti secara holistik, digerakkan MAIPs dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan swasta serta individu bermula tahun 2020.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI