fb fb fb fb fb

Hampir 2,000 anak Pahang sertai Larian Tok Gajah KL 2024

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy melepaskan larian bermula di Dataran DBKL kira-kira pukul 7 pagi tadi

KUALA LUMPUR, 18 Februari- Larian Tok Gajah Kuala Lumpur 2024 yang julung kali dianjurkan di sini hari ini berjaya menghimpunkan hampir 2,000 anak-anak Pahang menyertai larian itu.

Larian bermula di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kira-kira pukul 7 pagi itu dilepaskan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Wan Rosdy berkata program hari ini bersejarah bagi Pahang kerana julung kali dianjurkan selepas penubuhan Sekretariat Perantau Anak Pahang awal bulan ini.

“Alhamdulillah ramai yang sertai, hampir 2,000 anak-anak Pahang yang berada di sekitar ibu kota, dengan adanya Larian Tok Gajah ini boleh mengeratkan silaturahim anak-anak Pahang yang berada di luar Pahang. Larian antara 5 kilometer (km) ke 7km ini Insya-Allah kita akan buat lagi,” katanya.

Beliau berkata selain menganjurkan pelbagai aktiviti, Sekretariat Perantau Anak Pahang juga berperanan sebagai medium untuk memudahkan anak-anak Pahang di luar Pahang mendapatkan maklumat berkaitan perkembangan semasa negeri itu.

Katanya selain maklumat yang boleh didapati menerusi platform media sosial, anak-anak Pahang yang mahu mendapatkan maklumat secara dua hala boleh ke pejabat Sekretariat Perantau Anak Pahang di Tingkat 6, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI