fb fb fb fb fb

Hampir 15,000 unit rumah mampu milik diluluskan di Sarawak

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Aiman Athirah Sabu/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 5 Februari- Hampir 15,000 unit Rumah Mampu Milik (RMM) di Sarawak diluluskan pelaksanaannya.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Aiman Athirah Sabu berkata daripada jumlah tersebut, 4,566 unit telah siap dibina dan 7,703 unit lagi masih dalam pembinaan.

Projek ini melibatkan program seperti Perumahan Rakyat (PPR) atau Program Residensi Rakyat B40 (PRR), Kediaman SPNB M40 dan Program Perumahan PR1MA, M40.

Kerajaan turut mempertimbangkan cadangan pembangunan PPR dan PRR baharu.

"Bagi negeri Sarawak, sejumlah 14,921 unit RMM telah diluluskan pelaksanaannya dengan status sebanyak 4,566 unit telah siap dibina.

"Terkait dengan kerjasama kerajaan negeri khususnya Housing Development Corporation HDC Sarawak atau mana-mana pemaju swasta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sentiasa terbuka untuk mengadakan kerjasama", katanya dalam sesi Dewan Rakyat.

Dalam pada itu beliau turut memaklumkan, sehingga September tahun lalu, 443,259 unit rumah mampu milik telah siap, dalam pembinaan dan perancangan di seluruh negara.

Penjelasan tersebut bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Betong, Dr Richard Rapu @ Aman Anak Begri di Parlimen.

ROSLINA BINTI DIN