
KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Sebanyak 99,693 kandungan berunsur penipuan dalam talian telah diturunkan daripada platform media sosial setakat 31 Julai lalu, melepasi jumlah keseluruhan 98,503 kandungan yang diturunkan sepanjang tahun 2025.
- Peningkatan penurunan kandungan penipuan menunjukkan keselamatan dalam talian perlu diberi perhatian berterusan.
- RUU Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2026 diluluskan Dewan Negara selepas perbahasan 15 senator.
- Pindaan memperkenalkan Inisiatif Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS) Kebangsaan untuk tujuan pemeliharaan keselamatan negara.
- Menteri boleh arah MCMC sokong pelaksanaan PPS; keputusan MCMC boleh dirayu ke Tribunal Rayuan dan disemak semula di mahkamah.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata peningkatan itu menunjukkan aspek keselamatan dalam talian perlu terus diberi perhatian.
“Sebagai perbandingan, sebanyak 63,652 kandungan diturunkan pada 2024, diikuti 6,297 pada 2023 dan 242 pada 2022.
“Pada tahun lalu, angka penurunan ini meningkat kepada 98,503 dan setakat 31 Julai lalu kami telah menurunkan 99,693 kandungan daripada platform media sosial.
“Jadi angka tersebut menunjukkan bahawa keselamatan dalam talian merupakan salah satu aspek yang perlu kita beri fokus dan perhatian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2026 di Dewan Negara hari ini.
RUU berkenaan kemudian diluluskan dengan suara majoriti selepas dibahaskan oleh 15 senator.
Pindaan itu antara lain memperkenalkan Inisiatif Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS) Kebangsaan bagi tujuan pemeliharaan keselamatan negara, selain menyediakan asas perundangan yang lebih jelas kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) untuk menyokong pelaksanaannya.
Teo berkata, menerusi pindaan tersebut, menteri boleh mengarahkan MCMC menyokong inisiatif berkaitan penggunaan perkhidmatan rangkaian atau aplikasi bagi melaksanakan Inisiatif PPS Kebangsaan.
Beliau turut menjelaskan bahawa mana-mana pihak yang terkesan dengan keputusan atau arahan MCMC boleh mengemukakan rayuan kepada Tribunal Rayuan yang ditubuhkan bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Katanya, tribunal itu dipengerusikan oleh seorang Hakim Mahkamah Tinggi, manakala pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusannya boleh membawa perkara berkenaan ke mahkamah untuk semakan kehakiman.
RUU yang diluluskan Dewan Rakyat pada 15 Julai lalu itu mengandungi dua fasal, antaranya meminda Seksyen 202 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi memberikan asas perundangan yang lebih jelas kepada MCMC dalam menyokong pelaksanaan Inisiatif PPS Kebangsaan.