PUTRAJAYA, 3 November –Dalam semangat kebersamaan, kira-kira 1,000 warga Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) termasuk pengurusan tertinggi dan wakil komuniti pelajar Palestin berhimpun dalam program Solidariti UNITEN bersama Palestin di sini.
Program dianjurkan seiring komitmen teguh Kerajaan Malaysia untuk UNITEN menyuarakan sokongan dan solidariti terhadap hak dan kebebasan rakyat Palestin yang kini terus dianiaya dan dibunuh oleh tentera rejim Israel atas alasan tindakan pejuang Hamas pada 7 Oktober lalu.
Pada program itu, Naib Canselor UNITEN, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman menzahirkan tanda solidariti kepada rakyat Palestin di Gaza juga rakyat Palestin yang berada di Malaysia dan di seluruh dunia.
”Saya menyeru warga UNITEN untuk bersama-sama menunjukkan kebersamaan dan kemanusiaan kita, serta mengecam kezaliman yang menimpa rakyat Palestin. Tindakan kejam zionis mencabuli hak asasi manusia dan hukum antarabangsa, meninggalkan luka mendalam pada umat manusia,” katanya ketika berucapan pada perhimpunan itu.
Program yang berlangsung di Sunken Garden, Bangunan Pengurusan UNITEN itu menyaksikan para peserta membawa Jalur Gemilang dan bendera Palestin, memakai mafela dan ’head band’ bermotif Palestin, plakad serta melaungkan 'Palestin', ’Free Palestin’ bagi mengecam tindakan kejam tentera Israel terhadap rakyat Palestin.
Solidariti bermula sejak 30 Oktober yang lalu, diisi dengan pelbagai aktiviti seperti, perkongsian pelajar Palestin, ceramah Pensyarah Tahfiz UNITEN berkaitan konflik Palestin, solat hajat, bacaan qunut nazilah dan lain-lain lagi.
Wakil pelajar Palestin, Motasem W A Jad, pelajar Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik Kuasa (Kepujian) di UNITEN yang berkongsi kisah Palestin berkata perjuangan dalam menentukan nasib sendiri menjadi aspek penting dalam kehidupan rakyat Palestin.
“Walaupun menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan seperti pengusiran dan sikap perikemanusiaan yang kejam selama puluhan tahun, namun tekad kami tetap kuat. Ketabahan ini mengingatkan bahawa walaupun dalam keadaan sukar, kami berdiri dengan kukuh dan tidak goyah," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN
UniMAP tawar 25 biasiswa khas kepada pelajar Palestin tanda solidariti
Palestin: Rintihan solidariti umat Islam dan masyarakat dunia
Solidariti kepada Palestin: KPT serah kepada pengurusan IPT ikut panduan, kebebasan masing-masing
Sementara itu, warga kerja UNITEN, Profesor Madya Ts. Gs. Dr. Sivadass Thiruchelvam ketika ditemui berkata isu Palestin seharusnya dirasai dan difahami oleh semua.
Menurutnya, semua pihak tanpa mengira agama perlu menyokong perjuangan rakyat Palestin dalam mempertahankan tanah air mereka dan mengecam sekeras-kerasnya sikap tidak berperikemanusiaan rejim Zionis.
"Saya hadir di sini sebagai tanda sokongan kepada rakyat Palestin dan mengutuk kekejaman dan kezaliman yang berlaku. Program ini adalah satu manifestasi keprihatinan kita terhadap nilai kemanusiaan sejagat. Apa yang berlaku di Palestin adalah isu kemanusiaan dan keamanan dan ia adalah hak kita sesama insan,” katanya.
Pihak universiti turut melancarkan Tabung Prihatin Palestin UNITEN bagi membantu rakyat Palestin yang terjejas selain menawarkan tajaan yuran pengajian kepada pelajar baharu dari Palestin untuk sesi akademik 2023/2024.
Ketika ini terdapat sepuluh pelajar dari Palestin sedang mengikuti pengajian di UNITEN.