fb fb fb fb fb

Haji: Bakal jemaah dinasihatkan amal kawalan kendiri, elak dijangkiti COVID-19

(Idris pada sidang media selepas Majlis Penutupan Mahrajan Memanah Kejohanan Sukan
Sekolah Menengah Agama (MESMA) peringkat Kebangsaan di Arena Emas)

JOHOR BAHRU, 5 Jun- Jemaah yang bakal menunaikan haji tahun ini dinasihatkan agar sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan dan mengamalkan kawalan kendiri terutama ketika hadir atau mengadakan sebarang majlis dan kenduri sebelum berlepas ke tanah suci bagi mengelakkan dijangkiti COVID-19.

Ia susulan tiga kes positif yang dikesan di kalangan bakal Jemaah haji kumpulan pertama dipercayai berpunca daripada majlis yang dihadiri mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad berkata, susulan itu jemaah haji diingatkan supaya sentiasa berjaga-jaga bagi mengelakkan daripada mereka terlepas penerbangan seperti yang dijadualkan.

"Saya dimaklumkan (tiga) jemaah ini dijangkiti ketika buat kenduri, mungkin waktu itu datang tetamu yang tidak sihat, bawa virus dan menyebabkan berlaku wabak.

"Kalau hendak buat kenduri tidak mengapa, tetapi kalau boleh kena ikut prosedur operasi standard (SOP) dan sebagainya, kita bimbang nanti takut terjejas pula jadual penerbangan mereka," katanya pada sidang media selepas Majlis Penutupan Mahrajan Memanah Kejohanan Sukan Sekolah Menengah Agama (MESMA) peringkat Kebangsaan di Arena Emas di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai jemaah haji kumpulan pertama yang disahkan positif COVID-19.


(Jemaah haji dinasihati mengamalkan kawalan kendiri terutama ketika hadir atau mengadakan
sebarang
majlis dan kenduri sebelum berlepas ke tanah suci bagi mengelakkan dijangkiti COVID-19/FOTO HIASAN)


Idris berkata, bagaimanapun jemaah haji yang positif COVID-19 masih berpeluang untuk mengerjakan haji musim ini berikutan penerbangan terakhir adalah pada Julai depan.

"Jika positif, mereka ada masa lagi (untuk mengerjakan ibadah haji) kerana penerbangan akhir kita (mungkin) sama ada awal 2 atau 3 Julai nanti. Selepas mereka habis kuarantin, sekiranya mereka sihat Insya-Allah boleh terbang (ikut kumpulan lain)," katanya.

Semalam, Bernama melaporkan Pengarah Eksekutif Haji Lembaga Tabung Haji Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman dilaporkan berkata tiga daripada 298 jemaah haji kumpulan pertama ke Tanah Suci bagi musim 1443H/2022, disahkan positif COVID-19.

Media Baharu