fb fb fb fb fb

Agong titah semua pihak perlu bersatu pulihkan negara

KUALA LUMPUR, 4 Jun - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar kerajaan dan semua pihak tanpa mengira fahaman politik, berusaha merencana pelan jangka panjang bagi membawa negara kembali ke persada kejayaan dalam era pasca pandemik.

Al-Sultan Abdullah bertitah pengurusan negara memerlukan suatu rencana yang bitara, mencakupi pelbagai sektor dan aspek kehidupan.

Pada masa yang sama, rakyat juga berperanan dalam mendokong usaha-usaha murni kerajaan disamping terus berusaha untuk mendepani sebarang cabaran.

Natijahnya, pemulihan negara memerlukan simbiosis yang erat antara kerajaan dan rakyat.

"Perpaduan dan kebersamaan dalam sebuah masyarakat yang mempunyai pelbagai latar belakang, adalah sebenarnya merupakan resepi dan kekuatan dalam membentuk aspirasi nasional. Ia merupakan tiang kemakmuran negara dan menyumbang kepada keamanan dan kestabilan. Pemulihan dan kebangkitan negara yang diimpikan tidak mungkin akan menjadi realiti jika kita berpecah-belah dan gagal untuk mewujudkan lanskap kehidupan yang stabil.

"Justeru bersempena dengan sambutan rasmi ulang tahun keputeraan beta pada tahun ini, marilah kita bersama sama berganding bahu dalam sebuah kesepaduan yang erat ke arah membentuk Malaysia yang gemilang," titah Al-Sultan Abdullah sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda esok.

Yang di-Pertuan Agong juga bertitah, sektor ekonomi dan kehidupan seharian rakyat telah menampakkan pemulihan, bermula dari pembukaan semula sempadan negara pada 1 April lepas dan baginda bersyukur kerana pandemik COVID-19 kian pulih.

Rakyat juga berupaya kembali menikmati kehidupan seharian yang sebelum ini terjejas akibat pandemik.


(Foto fail)

Titah Al-Sultan Abdullah, pada hakikatnya bukanlah suatu perkara yang mudah untuk mengemudi negara keluar dari kesan pandemik COVID-19.

Mengakhiri titahnya, Seri Paduka Baginda turut merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan, anggota pentadbiran, penjawat awam dan anggota pasukan keselamatan yang menyumbang kepada kesejahteraan negara.

Al-Sultan Abdullah juga mengajak pemimpin negara dan anggota perkhidmatan awam, untuk terus berkhidmat setulus hati dalam menentukan sosio ekonomi rakyat terus dilindungi dan dibantu demi kelangsungan hidup mereka.

"Beta turut ingin berpesan kepada rakyat yang beta kasihi untuk berterusan menyokong usaha-usaha dan dasar kerajaan agar program yang digubal dapat dinikmati oleh semua. Sebagai rakyat Malaysia, kita semua perlu berganding bahu dan menggalas tanggungjawab masing ibarat kata pepatah 'ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni'. Beta dan Raja Permaisuri Agong akan terus mendoakan agar semua usaha-usaha ini diberi keberkatan oleh Allah SWT dan dipermudahkan dalam mencapai hasrat yang diidam-idamkan," titah baginda.

Selain itu, Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih baginda berdua atas ucapan tahniah, ingatan dan doa, yang telah disembahkan yang menjadi kekuatan baginda terus memayungi negara dengan adil dan saksama.

Seri Paduka berdua turut menzahirkan ucapan tahniah di atas pencapaian atlet negara dalam temasya Sukan SEA Ke-31 di Hanoi, Vietnam baru-baru ini.

Media Baharu