
KUALA LUMPUR, 11 Mac – Kerajaan tidak bercadang untuk meningkatkan had laju maksimum 90 kilometer sejam di Lebuhraya Pan Borneo kepada 110 kilometer sejam .
- Penetapan had laju dibuat untuk mengimbangi kelancaran trafik dan keselamatan pengguna.
- Reka bentuk lebuh raya memudahkan pergerakan kampung ke kampung dan terdapat 641 perhentian bas, menyukarkan penggunaan had laju 110 km sejam.
- Kementerian komited menyeimbangkan kelancaran trafik dengan keselamatan supaya lebuh raya kekal rangkaian pengangkutan cekap dan mampan.
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, penetapan had laju maksimum itu dibuat bagi mengimbangi kelancaran trafik dan keselamatan pengguna.
“Puncanya Lebuhraya Pan Borneo ini lebuh raya tanpa tol dan lebuh raya ini di kiri kanan ada banyak kampung, reka bentuk ini untuk memudahkan pengerakan kenderaan dari kampung ke kampung, untuk singgah dan sebagainya. Lebuhraya Pan Borneo ini ada 641 stesen atau perhentian bas yang tidak ada ada di Lebuhraya PLUS di Semenanjung. Jadi oleh kerana ada perhentian bas, ada reka bentuk dia tak boleh lebih, 110 km itu tidak boleh digunakan” menurut beliau.
Mengulas lanjut, beliau berkata kementeriannya terus komited mengimbangi kelancaran trafik dengan keselamatan pengguna jalan raya agar Lebuhraya Pan Borneo terus berfungsi
sebagai rangkaian pengangkutan yang cekap, selamat dan mampan.
Beliau menjawab soalan Senator Roderick Wong Siew Lead yang meminta kajian untuk menaikkan had laju kepada 110 kilometer sejam di laluan lebuh raya berkenaan.