fb fb fb fb fb

Gudang syarikat kopi tempatan musnah dalam kebakaran

FOTO HIASAN

MELAKA, 27 November - Sebuah gudang syarikat kopi tempatan musnah dalam kebakaran di Taman Teknologi Cheng, di sini malam tadi.

Komander Operasi Penguasa Kanan Bomba II Mohd Khairul Nizam Mohamad Anuar dalam kenyataan berkata, gudang berkeluasan 120 meter (m) x 60m itu terbakar hampir 90 peratus.

Katanya, operasi memadam kebakaran gudang kilang kopi tersebut melibatkan 23 anggota dengan bantuan tiga jentera Fire Rescue Tender (FRT), dua jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), dua Unit Bermotor Bomba (RIM) dan dua lori tangki air dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheng, Melaka Tengah dan Tangga Batu.

"Kami menerima panggilan pada 9.59 malam tadi, sebelum ke lokasi kejadian dan tiba empat minit kemudian.

“Hingga 8.40 pagi ini, operasi memadam kebakaran masih belum tamat dan antara masalah yang dihadapi pihak bomba ialah tekanan air yang rendah, menyukarkan usaha memadam kebakaran walaupun api berjaya dikawal pada 11.05 malam tadi,” katanya.

Mohd Khairul Nizam berkata tiada mangsa terlibat dalam kejadian itu dan punca kebakaran serta nilai kerugian masih dalam siasatan.

TETITIA YUSOFF