KUALA LUMPUR, 3 Oktober – Menteri Sumber Manusia, Steven Sim menggesa pembebasan segera rakyat Malaysia yang ditahan ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.
Steven menyifatkan mereka sebagai jiwa berani yang mempertahankan maruah kemanusiaan dan kebebasan mereka mesti dikembalikan tanpa syarat.
"Hati nurani memaksa saya untuk turut bersuara mengenai mereka yang tidak selamat bukan kerana kemalangan, tetapi kerana mereka ditahan, kebebasan mereka dinafikan, maruah mereka dipijak.
"Rakyat Malaysia adalah antara jiwa berani dalam GSF yang telah dirampas ketika misi kemanusiaan ke Gaza, Palestin.
"Mereka mesti dibebaskan segera. Dunia mesti bersatu menghentikan kekejaman ini. Bebaskan flotila, bebaskan Gaza, bebaskan Palestin," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di penutup perhimpunan anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA) di sini.
Antara yang ditahan termasuk artis, aktivis dan sukarelawan kemanusiaan tempatan seperti Heliza Helmi, Hazwani Helmi, Zizi Kirana, Farah Lee, Ardell Aryana dan Dr Taufiq Razif.
Dalam pada itu, Steven turut menegaskan komitmen kerajaan terhadap perlindungan sosial pekerja.
Beliau berkata, Kuala Lumpur berbangga menjadi ibu kota global bagi keselamatan sosial sepanjang minggu lalu, dan setiap dasar yang dibincangkan akan memberi kesan nyata kepada kehidupan berbilion manusia.
Menteri itu turut berkongsi kisah menyentuh hati mengenai seorang ibu yang kehilangan anak akibat kemalangan di tempat kerja, sekali gus mengingatkan bahawa dasar sosial yang digubal perlu benar-benar melindungi rakyat.