PUTRAJAYA, 16 Februari- Graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (TVET) yang telah menamatkan latihan di mana-mana institusi diminta berdaftar dengan Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT).
Keputusan itu dipersetujui dalam mesyuarat Majlis TVET yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi MTVET, pada 23 Januari lepas.
“Dalam mesyuarat itu, MBOT telah membentangkan kertas berkaitan Peranan MBOT dalam Memperkasa Graduan TVET. Mesyuarat bersetuju agar graduan TVET yang telah menamatkan latihan supaya berdaftar dengan MBOT,” kata MBOT dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya tindakan mendaftar dengan MBOT bertujuan meningkatkan profesionalisme, sekali gus meningkatkan produktiviti industri melalui pembangunan kapasiti dan bakat.
“Dalam memastikan kualiti graduan TVET, mereka turut digalakkan untuk mendapatkan nilai tambah dengan menyertai program-program latihan dan pembangunan berterusan anjuran MBOT atau MBOT Approved Training Provider,” katanya.
MBOT turut mempelawa semua institusi pengajian tinggi dan institusi latihan kemahiran awam dan swasta untuk mendaftarkan graduan mereka dengan MBOT sebagai Juruteknik Berkelayakan atau Teknologis Berijazah.