KUALA LUMPUR, 2 Disember - Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menegaskan kekuatan dan masa depan negara bergantung kepada kualiti graduan muda, yang menjadi penentu kejayaan atau kegagalan negara pada masa hadapan.
Seri Paduka Baginda dalam titah selaku Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) mengingatkan, graduan tidak boleh leka dalam menghadapi arus kemodenan dan perlu mengelakkan diri daripada terlibat dalam perkara tidak sihat.
Istiadat konvokesyen bukan sekadar meraikan kejayaan akademik, sebaliknya menandakan permulaan perjalanan graduan dalam menyumbang kepada agama, bangsa dan negara.
"Graduan perlu meletakkan diri mereka sebagai pembina tamadun yang unggul dengan menggunakan ilmu yang diperolehi untuk kemajuan ummah dan berperanan untuk menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin muda negara," titah Sultan Ibrahim pada Istiadat Konvokesyen ke-15 UPNM di sini, pada Selasa.
Sultan Ibrahim bertitah, ilmu diperoleh di universiti merupakan amanah yang perlu dikembalikan kepada masyarakat dan penggunaannya harus memberi manfaat kepada semua.
"Ilmu bukan sekadar untuk kemajuan diri sendiri. Yang lebih penting ialah cara ilmu tersebut digunakan untuk kebaikan semua.
"Ini kerana, sejarah tamadun Islam telah membuktikan bahawa ilmu boleh membawa umat daripada kejahilan kepada cahaya kebenaran," titah Sultan Ibrahim.
Negara menaruh harapan tinggi kepada graduan sebagai aset strategik dalam memacu pembangunan negara.
Pada istiadat konvokesyen itu, Seri Paduka Baginda turut mengingatkan graduan agar tidak mengecewakan harapan ibu bapa dan mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan jati diri negara.