fb fb fb fb fb

GPRCFMY 2025 jalin kerjasama strategik dengan rakan industri perhubungan awam

Sidang media Persatuan Pengamal Perhubungan Awam Malaysia (PRactitioners)

KUALA LUMPUR, 12 Ogos - Pengamal perhubungan awam antarabangsa akan berkumpul di Malaysia buat julung kalinya menerusi Persidangan dan Festival Perhubungan Awam Global 2025 (GPRCFMY 2025) yang dianjurkan Persatuan Pengamal Perhubungan Awam Malaysia (PRactitioners) selama tiga hari.

Acara itu akan berlangsung dari 13 hingga 15 November ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (PWTC).

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur merangkap Pengerusi PRactitioners, Datuk P. Kamalanathan berkata, sokongan rakan strategik mencerminkan komitmen bersama untuk memajukan industri komunikasi.

Beliau berkata, kerjasama itu turut menjadikan persidangan ini sebagai platform serantau bagi pertumbuhan profesional, dialog dan inovasi.

“Dengan penuh penghargaan, kami mengiktiraf komitmen setiap rakan yang menyokong GPRCFMY 2025. Kerjasama ini menunjukkan dedikasi bersama dalam memartabatkan industri komunikasi serta memperkukuh peranannya di peringkat serantau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Acara itu turut menyaksikan penganjur menjalin kerjasama strategik dengan beberapa rakan industri terkemuka bagi memperkukuh profil, capaian dan impaknya di peringkat tempatan serta global.

Antara rakan strategik yang terlibat ialah Institut Akhbar Malaysia (MPI), Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC), Persatuan Perhubungan Awam dan Komunikasi Malaysia (PRCAM), Institut Pengurusan Malaysia (MIM), Persatuan Pengiklan Malaysia (MAA), Persatuan Pendidik Komunikasi Malaysia (MACE) dan Malaysia HR Forum.

Persidangan akan menampilkan perbincangan panel pakar, ucaptama, bengkel interaktif, pameran industri dan sesi rangkaian profesional.

GPRCFMY 2025 turut memfokuskan peranan perhubungan awam yang berkembang seiring dengan perubahan pesat era digital.

Maklumat lanjut dan pendaftaran boleh dilakukan melalui laman web rasmi https://gprfmy.com/GPRCFMY .

GRACE AISYAH KEDAYAN