MASJID TANAH, 4 Februari- Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) disaran membantu membaiki atau membina rumah golongan memerlukan agar mereka dapat menjalani kehidupan lebih selesa.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu secara tidak langsung dapat membantu memberi sinar kepada golongan ini menjelang Ramadan dan Syawal yang akan tiba tidak lama lagi.
Mengambil contoh program Baiti Jannati yang dilaksanakan Tenaga Nasional Berhad (TNB), sebanyak 37 buah rumah telah siap dibina di Melaka melibatkan peruntukkan RM1.2 juta.
Datuk Seri Ab Rauf hadir pada Majlis Penyerahan Rumah Baiti Jannati serta Penyerahan Sumbangan TNB di Kampung Lubuk Redan, Masjid Tanah.
Sementara itu, bagi penerimanya, Rohani Karim, 60 tahun, sumbangan itu merupakan sinar baharu buatnya yang merupakan seorang ibu tunggal lima anak yang hidup berpindah randah sebelum ini.
"Saya cukup gembira,memang gembira betul. Saya terima kasih pada adik saya, adik ipar dan kakak-kanak semua. Asalnya, anak sulung saya ada sakit buah pinggang dan tidak boleh bekerja, sejak itu kami sudah tidak mampu membayar sewa rumah dan akhirnya dihalau,"katanya.
Beliau menerima rumah tiga bilik bernilai RM65,000 selain sumbangan sistem perparitan dan kumbahan berjumlah RM15,000.