BANGI, 23 November-Program pemulihan akidah pengikut ajaran GISB Holdings (GISBH) yang telah dimulakan sejak awal bulan ini turut memfokuskan aspek membina kehidupan dan masa depan pengikut kumpulan terbabit.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Khas Pemulihan Akidah GISBH, Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil, modul Istitabah daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang digunakan sebagai projek rintis akan ditambahbaik kepada tujuh modul bersasar bagi membentuk satu proses pemulihan yang lengkap dan berkesan bagi membantu mereka kembali kepada masyarakat dengan akidah yang betul.
"Masalah kita sekarang ini sampai ke tahap pemulihan. Sekiranya program selesai mereka ini mungkin tiada kerjaya. Masyarakat tidak melihat mereka. Mereka akan kembali kepada tempat asal.
"Jadi modul itu kita minta lebih komprehensif melibatkan agama dan juga kehidupan. Sebenarnya modul ini, Insya-Allah modul yang ada masa depan agama dan masa depan kehidupan.
"Kita imbangkan kefahaman agama yang mereka ini diterima oleh masyarakat bahawa kefahaman mereka ini betul. Orang tidak pandang serong dan mereka ada tempat dalam kalangan masyarakat utk bekerja dan membina kehidupan", katanya di sini.
Beliau turut memaklumkan modul yang telah diperkemas dan diperkasa itu akan diselaras dan dilaksanakan dalam Februari atau Mac tahun hadapan.
Ketika ini, mereka menggunakan modul Istitabah MAIS sehingga tahun hadapan membabitkan kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA), pembangunan remaja, kepimpinan umat insaniah dan modul psikospiritual.
Tambahnya, aspek deradikalisasi turut akan menjadi sebahagian daripada modul yang digunakan dalam pemulihan akidah kanak-kanak GISBH.
Beliau turut berharap masyarakat menghentikan sebarang provokasi terhadap isu berkenaan, sebaliknya bekerjasama memberikan harapan semula kepada mereka yang terjerumus dengan ajaran tersebut.