GISBH: Mahkamah Tinggi tolak semakan kehakiman keputusan Jawatankuasa Fatwa Perlis

Kompleks Mahkamah Kangar/Foto RTM

KANGAR, 16 Januari – Mahkamah Tinggi Kangar hari ini menolak permohonan kebenaran semakan semula kehakiman ke atas keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis (JFP) terhadap GISB Holdings Sdn Bhd dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Nasiruddin Mohd Ali yang dikeluarkan pada Oktober 2024.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mahkamah Tinggi Kangar menolak permohonan semakan kehakiman terhadap keputusan Jawatankuasa Fatwa Perlis.
  • Hakim Mohamad Abazafree menyatakan mahkamah sivil tiada bidang kuasa mengkaji fatwa berkuasa prerogatif Raja Perlis.
  • Fatwa JFP menyifatkan pegangan GISB Holdings sebagai batiniah, menyeleweng dan sesat.
  • Fatwa mendakwa model ekonomi GISB mengandungi unsur penindasan dan eksploitasi terhadap ahli dan keluarga.

Hakim Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas ketika membacakan hujahan keputusannya menjelaskan permohonan semakan itu tidak berasas dari segi undang-undang dan menolak cabaran fatwa berkenaan.

“Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengkaji semula fatwa yang dibuat atas kuasa prerogatif Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail. Sebaliknya, ia berada dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah dan tidak boleh dicabar di mahkamah sivil,” katanya.

Permohonan berkenaan dikemukakan susulan fatwa yang dikeluarkan oleh JFP pada 14 Oktober 2024 menjelaskan bahawa pegangan kumpulan GISB Holdings Sdn Bhd sebagai fahaman yang bersifat batiniah, menyeleweng dan sesat.

Fatwa tersebut turut menyimpulkan bahawa model ekonomi yang diamalkan oleh GISB Holdings Sdn Bhd adalah bercanggah dengan prinsip ekonomi Islam kerana mempunyai unsur penindasan dan perhambaan terhadap mereka yang terbabit serta eksploitasi ke atas ahli, kanak-kanak, wanita dan keluarga.

Prosiding berkenaan dihadiri Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambali dan Mohammad Solehheen Mohammad Zaki yang mewakili JFP serta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Manakala, plaintif tidak hadir pada prosiding berkenaan dan diwakili peguam, Zulfikri Ulul Azmi.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan