Gerhana bulan penuh capai kemuncak 7.33 hingga 8.02 malam

Pemandangan fenomena gerhana bulan penuh atau dikenali sebagai ‘blood moon’ dirakam fotoBERNAMA di Pulau Duyong, malam ini/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 3 Mac Fenomena gerhana bulan penuh berlaku malam tadi dengan kemuncaknya atau maximum totality antara pukul 7.33 malam hingga 8.02 malam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Gerhana bulan penuh mencapai kemuncak antara pukul 7.33 malam hingga 8.02 malam.
  • Bulan terbit berbeza mengikut negeri, membolehkan pemerhatian gerhana penuh bergantung cuaca.
  • Fenomena selamat disaksikan dengan mata kasar tanpa penapis khas; berakhir sepenuhnya pada 10.22 malam.

Ketua Penolong Pengarah Planetarium Negara, Nur Fazilah Mohamad Hanafiah berkata gerhana bermula seawal 4.44 petang apabila bulan memasuki bayang penumbra bumi sebelum memasuki bayang umbra pada 5.05 petang.

Bagaimanapun, kedua-dua fasa awal tersebut tidak dapat disaksikan di Malaysia kerana bulan belum terbit.

Menurut beliau, bulan terbit kira-kira 6.30 petang di Sabah, 7.00 malam di Sarawak dan 7.26 malam di Kuala Lumpur, membolehkan orang ramai menyaksikan fasa gerhana penuh bergantung kepada keadaan cuaca.

“Kali terakhir gerhana bulan yang berlaku di Malaysia adalah pada 8 September 2025 iaitu berlakunya Gerhana Bulan Separa dan pada hari ini 3 Mac 2026 berlakunya Gerhana Bulan Penuh dan Gerhana Bulan yang akan datang akan berlakunya pada 20 Februari 2027 iaitu Gerhana Bulan Penumbra”, katanya kepada RTM.

Fenomena kali ini turut mempunyai keunikan tersendiri kerana berlaku secara berpasangan dengan gerhana matahari anulus yang berlaku pada 17 Februari lalu di Antartika, namun tidak kelihatan di Malaysia.

Planetarium Negara turut mengadakan program cerapan dengan penyediaan dua teleskop kepada pengunjung, selain menayangkan siaran langsung dari menara Merdeka 118 Kuala Lumpur.

Gerhana bulan penuh selamat disaksikan dengan mata kasar tanpa memerlukan penapis khas dan keseluruhan fenomena dijangka berakhir sepenuhnya pada 10.22 malam.