
ALOR SETAR, 10 Februari- Gerakan Kedah Selamat merupakan usaha berterusan membanteras gejala buli dan gangguan seksual di sekolah.
- Gerakan Kedah Selamat membanteras buli dan gangguan seksual di sekolah secara berterusan.
- JPN Kedah tidak berkompromi; keselamatan murid jadi keutamaan.
- Dasar sifar toleransi, aduan ditangani segera, telus dan berintegriti.
- Perkasakan advokasi, pemantauan sekolah dan kerjasama strategik bersama PPD.
Ia juga bagi memastikan setiap sekolah menjadi zon perlindungan yang kondusif untuk pembelajaran dan pembentukan sahsiah.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Abdul Rahim Mat menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap isu buli dan gangguan seksual.
Keselamatan murid sentiasa menjadi keutamaan.
“Setiap murid yang melangkah ke sekolah berhak berada dalam persekitaran selamat, dihormati dan dilindungi tanpa sebarang bentuk ancaman,” katanya menerusi satu kenyataan.
Menurut beliau, melalui Gerakan Kedah Selamat, JPN Kedah akan memperkasa dasar sifar toleransi terhadap buli dan gangguan seksual; memastikan setiap aduan ditangani dengan segera, telus dan berintegriti serta memperluas program advokasi kesedaran melibatkan murid, guru dan ibu bapa.
Gerakan itu juga bertujuan mengukuhkan peranan sekolah sebagai benteng keselamatan melalui pemantauan berterusan dan menggerakkan kerjasama strategik bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta semua pihak berkepentingan.
“Kami mahu melahirkan generasi yang sejahtera, berani bersuara serta membudayakan nilai hormat dan empati dalam komuniti sekolah selaras dengan aspirasi Reformasi Pendidikan,” katanya.
Seluruh warga pendidik dan masyarakat diseru untuk terus peka serta melaporkan sebarang insiden agar tindakan pantas dapat diambil.