fb fb fb fb fb

Generasi muda main peranan penting pastikan Malaysia bebas rasuah

Foto BERNAMA

GEORGE TOWN, 25 November- Sokongan dan komitmen generasi muda memainkan peranan penting dalam memastikan Malaysia bebas daripada rasuah, kata Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang Tuan Ruslan Tuan Mat.

Beliau berkata pihaknya komited melaksanakan langkah penguatkuasaan, pencegahan dan pendidikan untuk memerangi segala bentuk rasuah dan penyalahgunaan kuasa, bagaimanapun, tugas mulia itu memerlukan kerja sepasukan daripada semua pihak.

"Jika kita mahu melihat negara ini bebas daripada rasuah, generasi muda perlu memainkan peranan mereka. Malaysia perlukan generasi muda yang mempunyai tahap integriti tinggi untuk membangunkan negara ini.

"Kita mahu negara kita dikenali sebagai sebuah negara yang mempunyai integriti tinggi, justeru, saya memohon setiap individu bersama-sama SPRM dalam melawan rasuah," katanya dalam ucaptama pada Hari Antirasuah Antarabangsa 2023 (HARA 2023) di sini hari ini.

Beliau berkata tanggungjawab memerangi rasuah boleh dimulakan dengan dua tindakan iaitu jangan ambil rasuah dan jangan beri rasuah.

"Melaporkan penawaran rasuah akan turut memberi mesej yang jelas dan amaran kepada mereka yang cenderung menggunakan rasuah untuk mencapai matlamat mereka. Mesej ini jelas kepada masyarakat bahawa tiada harga yang mampu membayar maruah kita," tambahnya.- BERNAMA

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM