fb fb fb fb fb

Generasi muda harus juarai perubahan, budayakan antirasuah

Datuk Seri Anwar Ibrahim/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 5 Disember - Generasi muda diseru untuk terus menjuarai perubahan arus perdana serta membudayakan sikap antirasuah dalam kehidupan harian.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu mampu meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan mengamalkan etika serta menanam nilai-nilai murni berintegriti tinggi.

"Bersihkan diri, bersihkan fizikal, bersihkan pemikiran dan jiwa daripada sifat kotor seperti hasad, dengki dan khianat. Pupuklah nilai-nilai yang bersih.

"Kita juga harus menanam keyakinan tentang tatakelola, integriti, ketahanan diri dan keyakinan diri. Mana mungkin berlaku integriti yang kukuh, sistem ekonomi yang lebih baik atau sistem keadilan yang efisien jika nilai-nilai ini tidak dipupuk dan tindakan tidak diambil," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) Peringkat Kebangsaan 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Pada majlis sama Perdana Menteri turut meluncurkan Sistem Pengurusan Integriti dan Governan (SPINE) ke arah memperkukuh ekosistem integriti, mempertingkat tadbir urus serta memerangi rasuah dalam sektor awam.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI