fb fb fb fb fb

Gencatan senjata Gaza diharap kekal, akhiri penderitaan rakyat Palestin

Walid Abu Ali/RTM

KUALA LUMPUR, 28 Januari- Gencatan senjata fasa pertama antara Israel dan Hamas yang bermula pada 19 Januari lalu dengan tempoh selama 42 hari diharap menjadi titik tolak ke arah keamanan yang lebih kekal, sekali gus mengakhiri penderitaan rakyat Palestin.

Duta Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali menyatakan gencatan senjata itu telah menjadi keperluan mendesak bagi rakyat Palestin sejak 17 Oktober 2023.

Menurut beliau, kepimpinan Palestin bersama komuniti antarabangsa telah berusaha sedaya upaya dari hari pertama untuk mencapai gencatan senjata bagi menghentikan apa yang sebenarnya merupakan pembunuhan beramai-ramai dan pembantaian terhadap rakyat Palestin.

"Kami berharap gencatan senjata ini menjadi kekal dan mengakhiri penderitaan rakyat Palestin," ujarnya kepada RTM selepas hadir pada program Bicara Naratif di Angkasapuri, di sini, malam ini.

Beliau turut menyatakan penghargaan terhadap sokongan berterusan Malaysia terhadap perjuangan Palestin.

Sokongan tersebut, kata Walid, memberi impak besar di peringkat antarabangsa dalam usaha untuk menamatkan konflik dan memastikan keamanan yang lebih berpanjangan di Gaza.

Gencatan senjata itu berjaya dicapai selepas lebih 15 bulan serangan bom yang meragut lebih 46,000 nyawa di Gaza, memberi harapan baru kepada rakyat Palestin untuk mencapai kestabilan dan menghentikan kekejaman yang telah berlarutan.

Langkah berkenaan diharap dapat membuka jalan untuk perdamaian dan mengakhiri penderitaan yang telah terlalu lama menimpa rakyat Palestin.

BERITA BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA