
KUALA LUMPUR, 27 Mac — Keputusan kerajaan mengekalkan had subsidi bahan api sehingga 800 liter sebulan bagi pemandu e-hailing di bawah program BUDI95 dilihat sebagai langkah proaktif dalam membantu kelangsungan industri berkenaan.
- GEM sambut baik pengekalan subsidi sebagai bantuan segera mengurangkan beban kos bahan api pemandu e-hailing.
- Subsidi bahan api beri kelegaan operasi namun tidak menjamin kelangsungan pendapatan jangka panjang pemandu.
- Pemandu masih hadapi kos lain termasuk penyelenggaraan, insurans dan kenaikan kos sara hidup yang tekan pendapatan bersih.
- GEM dan pemandu harap sokongan tambahan seperti ketelusan algoritma, struktur tambang munasabah dan perlindungan sosial diperkukuh.
Ketua Aktivis Gabungan E-Hailing Malaysia (GEM), Masrizal Mahidin berkata, pihaknya menyambut baik langkah tersebut yang memberi kelegaan segera kepada pemandu, memandangkan bahan api merupakan kos utama operasi.
“Keputusan ini jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan pemandu e-hailing, khususnya dalam memastikan mereka terus mampu menjana pendapatan dalam keadaan semasa,” katanya.
Namun, beliau menekankan bahawa subsidi bahan api sahaja tidak mencukupi untuk menjamin kelangsungan pendapatan pemandu dalam jangka panjang.
Menurutnya, pemandu masih berdepan kos lain seperti penyelenggaraan, insurans serta peningkatan kos sara hidup yang menekan pendapatan bersih.
“Langkah ini membantu dari segi kesinambungan operasi, namun kelangsungan pendapatan memerlukan ekosistem yang lebih seimbang, termasuk ketelusan algoritma, struktur tambang yang munasabah serta perlindungan sosial yang lebih kukuh,” jelasnya.
Sementara itu, pemandu e-hailing, P. Vishnovartan menzahirkan penghargaan kepada kerajaan atas pengekalan subsidi RON95 pada kadar RM1.99 seliter, termasuk had 800 liter sebulan.
“Pengekalan subsidi ini memberi kelegaan kepada saya untuk terus bekerja dan mengurus kos harian dengan lebih baik,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui keadaan ekonomi semasa dan peningkatan kos lain boleh memberi kesan kepada pendapatan pemandu.
“Walaupun subsidi bahan api dikekalkan, peningkatan kos lain tetap memberi kesan kepada pendapatan kami.
“Justeru, kami berharap kerajaan dapat terus mempertimbangkan langkah sokongan tambahan bagi membantu pemandu e-hailing, termasuk dalam aspek kos penyelenggaraan dan perbelanjaan harian,” ujarnya.
Secara keseluruhan, inisiatif ini dilihat membantu dalam jangka pendek, namun pemain industri berharap sokongan berterusan dapat dipertingkat bagi memastikan kelestarian sektor e-hailing.