fb fb fb fb fb

Gaza: Malaysia perkukuh usaha bantuan bersama komuniti antarabangsa

Datuk Seri Mohamad Hasan / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 19 Ogos - Malaysia akan terus bersuara, bertindak dan menyumbang dalam kapasiti yang ada bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada Gaza, meskipun berdepan pelbagai cabaran dan sekatan.

Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, bagi tujuan itu, Malaysia menjalinkan kerjasama rapat dengan negara-negara seperti Mesir dan Jordan, serta beberapa badan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa, melalui misi 'airdrop' dan jambatan udara (air bridge) bagi memastikan bantuan sampai kepada pihak yang memerlukan di Gaza.

“Kita ambil bahagian dalam apa saja usaha yang digerakkan oleh masyarakat antarabangsa untuk membantu rakyat Palestin, yang sedang menderita, diperlakukan dengan amat kejam, dibunuh beramai-ramai, baik lelaki, wanita mahupun anak-anak.

"Selama hampir lima bulan, bekalan makanan langsung tidak dibenarkan masuk. Baru-baru ini pintu sempadan dibuka sedikit, tetapi bantuan yang dapat disalurkan masih tidak mencukupi termasuk bantuan yang terpaksa digugurkan dari udara. Malaysia juga mengambil bahagian dalam usaha ini, setakat yang mampu,” katanya.

Datuk Seri Mohamad berkata demikian semasa sesi penggulungan perbahasan RMK13 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat di sini.

Dalam pada itu, beliau berkata Malaysia turut mempengerusikan Persidangan Kerjasama antara Negara-Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin Keempat (CEAPAD IV) di Kuala Lumpur, yang turut dihadiri Menteri Perancangan dan Kerjasama Antarabangsa Palestin pada Julai lalu.

CEAPAD IV meluluskan Pelan Tindakan Kuala Lumpur 2025 yang akan menyelaras usaha-usaha membantu rakyat Palestin dalam aspek pembangunan semula Gaza, pembangunan ekonomi dan modal insan, reformasi institusi serta tadbir urus.

"Kita tidak sempat menghantar barangan bantuan, namun semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN baru-baru ini, kita telah mengadakan satu mesyuarat khas iaitu Mesyuarat CEAPAD.

"Mesyuarat ini melibatkan negara-negara Asia Timur dan Asia Tenggara yang berbincang tentang cara terbaik untuk membantu dan membangunkan semula Gaza," katanya.

Satu kenyataan bersama CEAPAD juga telah dipersetujui, dengan menegaskan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri, serta menggesa gencatan senjata segera dan berkekalan di Gaza.

Pada mesyuarat itu, Malaysia menambah sumbangan sebanyak AS$1 juta, masing-masing AS$500,000 kepada Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Timur Dekat (UNRWA) dan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin.

Bantuan tersebut bagi mendapatkan barang keperluan perubatan yang merupakan keperluan paling kritikal ketika ini di wilayah Tebing Barat itu.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM