fb fb fb fb fb

Garis panduan umat Islam berkaitan majlis bukan Islam masih dalam libat urus

Datuk Dr. Mohd Na'im Mokhtar

KUALA LUMPUR, 6 Februari- Cadangan garis panduan penglibatan orang Islam dalam majlis sambutan perayaan, upacara kematian, kunjungan serta penganjuran majlis di rumah ibadat bukan Islam sedang dalam proses libat urus bersama pihak berautoriti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na'im Mokhtar dalam satu kenyataan memaklumkan, garis panduan tersebut adalah bersifat nasihat kepada masyarakat Islam bagi menghadiri majlis perayaan atau upacara penganut agama lain dalam keadaan tertib, mematuhi adab serta memelihara pegangan akidah.

"Menerusi Garis Panduan yang sedang dibangunkan tersebut, orang Islam akan dapat menghadiri majlis perayaan atau upacara penganut agama lain dalam keadaan tertib, mematuhi adab serta memelihara pegangan akidah Islam.

"Garis Panduan ini akan memandu dan merancakkan usaha Kerajaan untuk mengukuhkan perpaduan dan membina sikap saling hormat menghormati di kalangan rakyat tanpa berasa bimbang atau salah faham daripada perspektif agama Islam.

"Ia secara langsung akan memastikan penganjuran dan penglibatan orang Islam dalam aktiviti-aktiviti tersebut tidak akan mencetuskan kontroversi atau menyentuh sensitiviti antara para penganut agama," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga memaklumkan bahawa garis panduan itu masih dalam proses libat urus bersama pihak berautoriti termasuk Majlis Agama Islam Negeri-Negeri (MAIN) dan akan diteliti secara komprehensif oleh Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali ke-126.

Bagaimanapun semua pihak diminta tidak menimbulkan salah faham atau mempolemikkan sebarang isu  sehingga menimbulkan keresahan awam demi pengukuhan keharmonian negara tercinta. 

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI