Garis panduan pelaporan dan etika penyiaran video akan dirangka – Menteri Komunikasi

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 3 April – Pengamal media diseru agar memperkukuh kawalan kendiri dan sentiasa peka dalam menyiarkan kandungan sensitif.

RINGKASAN BERITA AI
  • Garis panduan seimbang untuk pelaporan dan etika penyiaraan imej atau video sensitif akan dirangka.
  • Inisiatif susulan aduan MCMC mengenai penyebaran klip tidak ditapis termasuk rakaman dashcam di media sosial.
  • Perbincangan segera dengan Majlis Media Malaysia dan Malaysian Press Institute untuk tentukan langkah dan tata etika bersesuaian.
  • MCMC akan ambil tindakan menurut undang-undang sedia ada terhadap kandungan melanggar garis panduan platform digital.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, garis panduan yang seimbang antara keperluan pelaporan dan batas etika dalam menyiarkan imej atau video sensitif, akan dirangka.

Beliau memaklumkan, ia susulan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerima aduan orang ramai berhubung penyebaran klip video tidak ditapis, termasuk rakaman kamera papan pemuka atau ‘dashcam’ di media sosial.

“Saya difahamkan MCMC menerima aduan daripada orang ramai yang mengatakan kadangkala beberapa klip yang diambil mungkin dari ‘dashcam’ yang tidak disaring dan ditayangkan sepenuhnya oleh terutama media sosial mungkin boleh menimbulkan kesan.

“Ketika ini, dasar penggunaan media sosial dalam kalangan individu berusia 16 tahun ke bawah belum dikuat kuasakan, jadi berkemungkinan yang menonton (menggunakan) media sosial adalah dalam kalangan kanak-kanak.

“Saya juga akan berhubung dengan pihak Majlis Media Malaysia dan juga Malaysian Press Institute untuk memohon kedua-dua entiti ini mengadakan perbincangan segera dengan rakan-rakan media untuk mengenalpasti apakah langkah dan tata etika yang bersesuaian dan seimbang antara pelaporan dan penggunaan video yang boleh dianggap terlalu grafik,” jelas beliau kepada media selepas menyaksikan Pertukaran Memorandum Persefahaman antara MCMC dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Beliau turut menegaskan, pada masa sama, MCMC akan terus mengambil tindakan berdasarkan undang-undang sedia ada sekiranya menerima aduan, termasuk terhadap kandungan yang melanggar garis panduan platform digital.

Langkah ini dilihat penting dalam memastikan kebebasan media terus dipelihara tanpa mengabaikan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat.