fb fb fb fb fb

Gangguan air berjadual, pengguna di P.Pinang buat persediaan awal

Foto hiasan/ BERNAMA

SEBERANG JAYA, 8 April- Pengguna yang bakal terkesan dengan gangguan bekalan air berjadual di Pulau Pinang, mula membuat persediaan rapi.

Tinjauan RTM di sekitar Pulau Pinang mendapati, rata-rata pengguna menyediakan tong simpanan bekalan air di kediaman mereka dan bersedia menjimatkan penggunaan air sepanjang tempoh gangguan tersebut.

"Mesti sediakan tong yang besar lima atau enam tong cukuplah untuk untuk ini. Saya kalau boleh macam sebelum ini pun, mereka janji dua tiga hari, tetapi tidak sampai dua tiga hari pun, dalam sehari sehari lebih dah ok. Harap-harap macam ini, mereka kerja keras siang malam tidak berhenti", kata salah seorang penduduk, Abdul Aziz Omar.

"Jadi macam itu, kami akan sedia awal-awal sebelum terjadi bekalan terputus bekalan air. Mereka selalu cakap macam lama, tetapi akan buat secepat mungkin. Kami di rumah sini, ada dua hingga tiga tong, ada simpan sikit", kata Noor Atiqah Ramli.

"Kami mengharapkan pihak yang terlibat dapat mempercepatkan proses-proses membaik pulih. Keadaan ini diharap tidak mengganggu dan tidak berpanjangan", kata peniaga Azizah Fadzil.

Sebanyak 341,708 akaun pengguna di lima daerah di Pulau Pinang akan terkesan dengan gangguan bekalan air berjadual (SWSI) pada 25 hingga 28 April.

Gangguan berlaku berikutan pelaksanaan 23 projek pemasangan paip dan kerja pembaikan lain, melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM25 juta.

Semalam, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) merancang memulihkan perkhidmatan bekalan air dalam tempoh 24 jam kepada kira-kira 40 peratus pengguna terjejas bermula 25 April, pukul 10.00 malam dan pulih sepenuhnya pada 28 April, pukul 10.00 pagi.

 

ROSLINA BINTI DIN