FIMI: Peruntukan RM300 juta pacu industri perfileman negara – FINAS

Foto Fail

HONG KONG, 17 Mac– Malaysia mengumumkan peruntukan RM300 juta bagi program rebat Film in Malaysia Incentive (FIMI) untuk tempoh lima tahun akan datang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Fokus 2026 pada tiga bidang: tingkatkan kutipan pawagam tempatan, jadikan Malaysia hab ASEAN untuk kandungan realiti dan tanpa skrip, dan pemimpin animasi serantau.
  • Infrastruktur moden dan tenaga kerja mahir menyokong tarikan produksi antarabangsa ke lokasi penggambaran Malaysia.
  • Perjanjian pengedaran antarabangsa filem KONSPIRASI di FILMART 2026 membuka laluan kandungan tempatan ke pasaran global.
  • Kejayaan Polis Evo 3 dan Sheriff: Narko Integriti membuktikan kualiti tempatan; FINAS komited mempromosi Malaysia sebagai destinasi produksi global.

Langkah tersebut merupakan usaha strategik memperkukuh kedudukan negara sebagai hab penggambaran utama di Asia Tenggara melalui tawaran rebat kompetitif dan ekosistem kreatif yang kian berkembang.

Menurut kenyataan FINAS, bagi tahun 2026, tumpuan diberikan kepada tiga bidang utama iaitu meningkatkan kutipan pawagam tempatan, menjadikan Malaysia hab ASEAN bagi kandungan realiti dan tanpa skrip, serta memperkukuh peranan sebagai peneraju animasi serantau.

Inisiatif berkenaan disokong oleh infrastruktur moden dan tenaga kerja mahir yang mampu menarik produksi antarabangsa ke lokasi penggambaran di Malaysia.

Platform FILMART 2026 turut menyaksikan pencapaian penting melalui perjanjian pengedaran antarabangsa filem aksi thriller “KONSPIRASI” antara Elepfilm Entertainment dan Reliance Media Entertainment.

“Kerjasama ini membuka ruang luas bagi kandungan tempatan menembusi pasaran global.”

“Selain itu, sesi panel industri yang melibatkan Skop Productions dan One Cool Film Production dari Hong Kong turut membincangkan potensi besar dalam pembikinan filem aksi rentas sempadan,” kata kenyataan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Skop Productions, Shamin Yusof, turut mengetengahkan kejayaan filem pecah panggung seperti Polis Evo 3 dan Sheriff: Narko Integriti sebagai bukti kualiti kandungan Malaysia yang kompetitif di peringkat serantau.

Melalui insentif FIMI dan fasilitasi industri yang mantap, FINAS terus komited mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pilihan produksi global sekali gus meluaskan capaian industri skrin negara ke persada dunia.