KUALA LUMPUR, 17 Mei - Semua golongan masyarakat disaran ambil peluang menonton filem Memoir Seorang Guru, hasil karya novelis agung Allahyarham Azizi Abdullah yang mengangkat kisah profesion perguruan .
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, filem yang mengetengahkan peranan dan jasa seorang guru itu sarat dengan pelbagai mesej positif.
"Saya pertamanya memang cukup tersentuh dengan semua lakonan anak -anak kerana kami ada 5 juta kanak-kanak dan itulah dia ,hari ini jatuh sungai, esok jatuh longkang, memang itulah cabarannya.
"Kita harap filem ini dapat diangkat, dan barangkali juga saya akan menaja beberapa tayangan untuk memberikan semangat pada guru-guru kita khususnya kerana ini ada falsafah pendidikan yang sangat tinggi yang banyak memberikan pengalaman kepada kita berkaitan dengan melihat kepada cabaran-cabaran keguruan pada masa kini", katanya di sini.
Memoir Seorang Guru bakal ditayangkan di pawagam mulai 30 Mei ini.
Sebagai rekod, filem Memoir Seorang Guru diterbitkan oleh Kalam Ariff Holdings Sdn. Bhd. (KAHSB) dengan kerjasama YGMB.
Filem Memoir Seorang Guru mengisahkan seorang guru bandar, Cikgu Sunan lakonan Datuk Rosyam Noor yang telah ditukarkan ke sebuah sekolah di pedalaman dan ditugaskan menjadi guru kelas tercorot.