KOTA BHARU, 8 Mei - Sebanyak 1,379 kes pembakaran terbuka dilaporkan di Kelantan dalam tempoh kurang lima bulan pertama tahun ini hingga 6 Mei lalu.
Kes itu melibatkan beberapa jajahan di negeri itu terutamanya Pasir Puteh dan Bachok dengan kebanyakan membabitkan kebakaran hutan serta tanah gambut.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan Zainal Madasin, selain faktor kemarau dan cuaca kering ketika ini, sikap manusia juga mendorong kepada berlaku pertambahan agak ketara jumlah kebakaran tersebut berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Katanya, pihaknya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga supaya kejadian dapat dikawal dengan sebaiknya.
"Semua agensi kerajaan termasuk bomba sendiri kita bertindak di kawasan sendiri, di sana kita buat pemadaman dan masih lagi buat pemulihan tetapi tidaklah sebanyak sebelum ini. Setakat ini Alhamdulillah terkawal tetapi tak boleh percaya 100 peratus kita berada di tempat kejadian sekarang," kata Zainal kepada pemberita dalam Majlis Sambutan Aidilfitri 2024 Peringkat JBPM Kelantan di Tunjong, di sini.
Megulas lanjut, Zainal berkata pihaknya turut bekerjasama dengan agensi berkaitan termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi memudahkan proses pemadaman dilakukan.
Sementara itu, beliau berkata pihaknya sedang bertungkus lumus mengawal kebakaran terbuka di dua lokasi iaitu Kampung Kual, Bachok dan Kampung Kulim, Pasir Puteh yang berlaku sejak Februari lepas.