Felo Perdana kembali selepas dua tahun ditangguh

Timbalan Menteri Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Mordi Bimol/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 11 Februari -Program Felo Perdana yang sebelum ini ditangguhkan selama dua tahun akan dilaksanakan semula bermula Jun hingga Oktober tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program Felo Perdana dilaksanakan semula Jun hingga Oktober selepas ditangguhkan dua tahun.
  • Kajian IYRES menunjukkan 95% peserta meningkat kemahiran kepimpinan, komunikasi dan penyelesaian masalah.
  • 62 peserta dipilih, ditempatkan sebagai menti di pejabat menteri dan pegawai tinggi selama empat bulan.
  • Proses pemilihan dan syarat diperketat: penilaian berpusat selepas temu duga, hanya terbuka kepada graduan.

Timbalan Menteri Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Mordi Bimol berkata, program yang diperkenalkan pada 2013 itu ditangguhkan pada 2024 dan 2025 bagi memberi ruang kepada pelaksanaan kajian menyeluruh oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES).

“Jadi sudah tiba masanya selepas 10 tahun perlu ada satu kajian untuk melihat keberkesanan program ini. Jadi berdasarkan kajian yang dilaksanakan oleh IYRES sebanyak 95% peserta menunjukkan peningkatan kemahiran kepimpinan komunikasi dan penyelesaian masalah pada tahap tinggi selepas menyertai program felo perdana ini.

“Selain itu 88.7% peserta menyatakan program ini menyumbang kepada pembangunan kerjaya manakala 80% lagi peserta bersetuju bahawa program ini memberi impak positif kepada pembinaan rangkaian profesional,” katanya di Dewan Rakyat ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid.

Bagi tahun ini, seramai 62 peserta akan dipilih menyertai program tersebut dan akan ditempatkan sebagai menti di Pejabat Menteri, Pejabat Timbalan Menteri, Pejabat Ketua Setiausaha Negara serta Pejabat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam selama tempoh empat bulan.

Menurut beliau, proses pemilihan akan diperkemas menerusi pelaksanaan penilaian berpusat selepas sesi temu duga dan ujian psikometrik.

Syarat penyertaan turut diperketat apabila program kali ini hanya dibuka kepada belia yang telah menamatkan pengajian, berbanding sebelum ini yang turut menerima penyertaan pelajar tahun akhir.