Felo Perdana 2026 ditambah baik, permohonan kini dibuka

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 Mac- Program Felo Perdana 2026 akan dilaksanakan semula dengan beberapa penambahbaikan strategik bertujuan memperkukuh pembangunan kepimpinan belia di peringkat nasional.

RINGKASAN BERITA AI
  • Permohonan dibuka untuk belia 18 hingga bawah 30 tahun sehingga 24 April 2026 di myfelo.kbs.gov.my
  • Kelayakan ditingkatkan: pemohon mesti memiliki Ijazah Sarjana Muda dari IPT diiktiraf
  • Pemilihan melalui Sesi Penilaian Berpusat menilai kompetensi, potensi kepimpinan, pemikiran strategik dan personaliti calon secara objektif
  • 63 peserta ditempatkan di 31 kementerian selama empat bulan, terima elaun Gred 41 dan sertai mentor-mentee serta sesi dialog dan kertas polisi

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata program kali ini menyasarkan penyertaan 63 belia yang akan ditempatkan di 31 kementerian serta Pejabat Ketua Setiausaha Negara (KSN) selama empat bulan menerusi pendekatan mentor-mentee.

“KBS kini memberikan fokus sepenuhnya bagi memastikan anak muda kita dibentuk selengkap mungkin. Ini bagi melahirkan generasi masa depan yang mampu memegang tampuk kepimpinan negara, dan persediaan tersebut perlu bermula seawal mungkin.”

“Saya berharap semua belia di luar sana mengambil peluang keemasan ini untuk membina jati diri dan menimba pengalaman berharga demi masa hadapan,” kata Dr. Mohammed Taufiq kepada pemberita, hari ini.

Menurutnya, proses pemilihan peserta akan dilaksanakan melalui Sesi Penilaian Berpusat (Centralized Assessment Centre) bagi menilai kompetensi, potensi kepimpinan, keupayaan pemikiran strategik, serta kesesuaian personaliti calon secara objektif dan telus.

Selain itu, syarat kelayakan akademik turut ditambah baik dengan menetapkan pemohon sekurang-kurangnya memiliki Ijazah Sarjana Muda daripada institusi pengajian tinggi (IPT) yang diiktiraf, sama ada awam atau swasta, di dalam atau luar negara.

Permohonan bagi Program Felo Perdana 2026 dibuka kepada belia berumur 18 hingga di bawah 30 tahun bermula hari ini sehingga 24 April 2026 menerusi pautan rasmi myfelo.kbs.gov.my.

Sepanjang tempoh penempatan, para peserta akan menerima elaun bulanan setara dengan pegawai MySTEP Gred 41, yang ditanggung sepenuhnya oleh kementerian berkaitan.

Peserta juga akan diberi penugasan khas termasuk libat urus dalam sesi mentor-mentee bersama Menteri, Timbalan Menteri dan Ketua Setiausaha Negara (KSN), selain menyertai sesi dialog awam (town hall) bagi memberi pendedahan terhadap proses pembuatan dasar dan pengurusan pentadbiran tertinggi kerajaan.

Program berkenaan turut memberi peluang kepada peserta untuk menyediakan dan membentangkan kertas polisi berkaitan pembangunan belia dalam Simposium dan Majlis Apresiasi Felo Perdana bagi mengukuhkan kemahiran analitikal serta komunikasi strategik.

Pelaksanaan program tersebut melibatkan kerjasama strategik pelbagai agensi termasuk Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM).